rea.dy fi.le Lepas 7 tahun, akhirnya Qina jumpa juga dengan Ariq. Tapi Ariq yang sekarang langsung tak sama dengan Ariq yang dulu. Habislah kau Qina... 🌹 TEASER 6: PENGANTIN TANPA ISTERI “Kenalkan diri awak,” suruh Ariq serius. Tak ada senyum pada ulas bibirnya. Hanya matanya tajam menombak wajah pucat lesi yang nampak gementar. “Nama saya, nama saya... Qina Hasya binti Asyraf.” “Lagi?” tanya Ariq sambil mengetuk-ngetuk meja dengan jari telunjuknya. “Saya baru kerja di Basit Architect & Planner tiga bulan. Saya...” “Status awak?” potong Ariq pantas. Dia tak mahu tahu soal kerja kerana semua maklumat berkenaan kerja Qina ada dalam fail berwarna putih di hadapannya. Sebelum Qina masuk tadi semua sudah diteliti. “Maksud tuan?” Hati Qina rasa berdebar-debar. “Awak ni sebenarnya dah kahwin atau belum?” “Saya... saya dah kahwin tuan.” Tergagap-gagap Qina. Bertentang mata dengan Ariq saat ini tak ada langsung dalam fikirannya. Dia benar-benar belum bersedia. Soalan Ariq pula buat dia rasa seram sejuk, apalagi bila ditanya dengan riak wajah yang sangat serius. “Awak masih isteri orang atau bekas isteri orang?” Sinis air muka Ariq. Dia tahu dia nampak tak profesional bila berhadapan dengan Qina saat ini, bertanyakan soal peribadi melebih hal kerja. Tapi lantaklah! Dia tinggalkan syarikat lamanya dan dia datang ke syarikat ini, dengan satu tujuan... menyeksa Qina! Bukan untuk menjadi pekerja yang berdedikasi. “Masih isteri orang,” balas Qina dalam nada suara yang rendah. Dia terasa seperti hendak menangis kuat. Tahu, di mana hala tuju Ariq sebenarnya. Kalaulah dia tahu ini yang bakal dia hadap, dia tak akan mengikut arahan. Dia akan berhenti kerja 24 jam. Didenda atau dipenjarakan pun dia terima. Yang penting, dia dan Ariq tak perlu bertentang mata seperti saat ini. Sungguh, dia tak pernah bersedia untuk menghadapi situasi hari ini. “Tinggal dengan suami atau tinggal sendiri?” Ariq nampak betapa resahnya Qina. Tapi dia tak peduli. Lagi Qina menderita lagilah dia suka. Biar Qina tahu siapa sebenarnya dia, yang tak sempat Qina kenal. “Sendiri...” “Kenapa sendiri?” cantas Ariq pantas. Dia tahu soalan demi soalannya pada Qina kedengaran bodoh. Sudah tahu tetap mahu bertanya. Tapi kerana soalan bodohnya itu Qina nampak semakin menderita. Kalau bukan kerana berpaut pada kerusi, dia yakin Qina awal-awal lagi sudah tumbang. “Kalau tak ada apa-apa lagi tuan nak tanyakan atau cakapkan pasal kerja, saya minta diri dulu,” pinta Qina tenang. Jujurnya dia takut melihat Ariq dengan air muka yang tak pernah dilihat, sejak kenal suaminya itu dulu. Selebihnya, untuk detik ini dia tak sanggup berhadapan dengan Ariq. Dia rasa bersalah. Dia rasa sedih. Dia rasa malu. “Kenapa nak pergi cepat-cepat sangat? Sesi suai kenal kita tak habis lagi, kan?” Ariq bangun dari kerusi yang diduduki sejak tadi. Kemudian dia mengatur langkah laju menghampiri Qina. Berhenti di hadapan isterinya itu, makin tajam renungan matanya. Qina nampak lebih putih dibandingkan dulu. Badan Qina yang lebih kurus menampakkan tubuhnya yang langsing. Dagu isterinya itu kini lebih runcing. Saat matanya berpindah ke pipi Qina yang memerah nipis di kiri dan kanan, entah kenapa hatinya tiba-tiba terasa seperti ditikam pisau bertalu-talu. Dulu-dulu, Qina itu hanya mengenakan lip balm semata-mata. Hari ini, bibir Qina dioles warna merah bata. Qina nampak sangat bergaya! “Ni pipi kau merah, bibir kau merah, suami kau izinkan ke kau bersolek bagai ni pergi kerja?” Lain yang ingin ditanya, lain yang terkeluar dari bibir Ariq.